Tun Dr Mahathir: Perjuangan Yang Belum Selesai

23 05 2008

-PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI-
-klik untuk teks penuh pesanan Tun Dr Mahathir-

“Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat
Dari melihat bangsaku dijajah.
Tidak ada yang lebih menyedihkan
Dari membiarkan bangsaku dihina.

Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta
Terpinggir, dipersendakan, dilupakan.

Bukan kecil langkah wira bangsa, para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa.
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan.

Biarkan bertatih
Asalkan langkah itu yakin dan cermat
Bagi memastikan negara merdeka
Dan bangsa terpelihara.

Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapak-bapak kita.

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan
Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman-berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang.

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera
Menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian.

Di manakah silapnya?
Hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri.

Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam
Dan sejarah gemilang membina empayar.

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
Kerana hanya bangsa yang berjaya
Akan sentiasa dihormati.

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
Tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
Buat selama-lamanya.

Hari ini, jalan ini
Pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.”


Actions

Information

One response

2 08 2008
nabihah

ak tringt lg yg mase beliau menangis mase die bg ucapan kat perhimpunan agung UMNO,terharu aku,huhu…

Leave a reply to nabihah Cancel reply